Informasi Semasa

Normal Baharu

Sejak diumumkan PKP fasa keempat pada beberapa hari yang lalu, frasa normal baharu sering disebut di akhbar-akhbar dan saluran berita. Normal baharu pasca PKP membawa maksud kebiasaan baharu yang meliputi tingkah laku dan gaya hidup seseorang setelah PKP berakhir.

Sepanjang PKP dilaksanakan, pelbagai sekatan dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh semua orang seperti penjarakan sosial (social distancing), pemakaian topeng muka (mask), waktu perniagaan dibuka dan waktu perlu berada di rumah. Setelah lebih daripada sebulan rakyat Malaysia melalui PKP, perkara-perkara tersebut semakin menjadi kebiasaan dan perlu diteruskan walaupun PKP ditamatkan.

Normal baharu ini diharapkan dapat membantu dalam memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 yang menjadi wabak pandemik di seluruh dunia. Secara positifnya, wabak ini membawa pelbagai kebaikan kepada umat manusia sejagat dan alam sekitar. Sungai-sungai di bandar Kuala Lumpur khasnya menunjukkan perubahan yang ketara dengan air yang semakin jernih dan kualiti udara juga dilaporkan semakin baik.

Penjarakan sosial dan pemakaian topeng muka turut mendidik rakyat untuk lebih berdisiplin dan mengamalkan kebersihan dengan etika batuk/ bersin yang betul serta kerap mencuci tangan. Kebersihan merupakan tonggak utama kesihatan dan dalam agama Islam ada menyebut "Kebersihan sebahagian daripada iman".

Bersamalah kita hadapi PKP ini dan kehidupan selepasnya dengan hati yang terbuka dan sentiasa berfikiran positif. Kita mampu mengubahnya..!

<< Go back to the previous page